Sunday, October 25, 2009

Pasal Menulis Karya

1.0 Pengenalan

Kedudukan Sastera Melayu dewasa ini telah diwarnai dengan pelbagai isu dan konflik yang tidak berkesudahan. Antara isu dan gejala yang menyumbang kepada sindrom ketidakstabilan dunia Sastera Melayu ialah isu mengenai kedudukan Sastera Islam. Kedudukan dan kesahihan sesebuah Sastera Islam yang menggunakan Islam sebagai dasar
perangkaan dalam berkarya masih menjadi persoalan yang tidak terjawab. Selain daripada itu, bukan sahaja kedudukan karya yang menggunakan Islam sebagai label yang menjadi persoalan, bahkan karya-karya Sastera yang umum juga turut dipersoalkan ketulenannya sebagai sebuah wadah atau wacana ilmu yang bermanfaat.


Perbicaraan tentang isu yang agak kompleks ini telah dirungkai dan dipelopori oleh seorang penulis dan pengkritik lantang iaitu Mohd Affendi Hassan yang telah memperkenalkan satu teori yang dinamakan Teori Persuratan Baru yang telah menjadikan suasana dan kemelut Sastera Melayu semakin rancak dan menarik. Melalui teori tersebut beliau telah mewujudkan pelbagai persoalan dan pengenalan kepada konsep dan kedudukan sesebuah karya sastera yang benar menurut hakikat insan dan melihat Allah s.w.t sebagai segala pusat rujukan dalam mengolah sesebuah karya sastera.


Seterusnya, sebarang penulisan dan penciptaan karya sastera menurut teori tersebut mestilah tidak terpisah dengan ikatan Tauhid kepada Allah s.w.t. Maka, jika penulisan dan penciptaan karya yang dimulakan menurut segala tertib Tauhid kepada Allah s.w.t sudah pasti karya yang terlahir akan penuh dengan ilmu, keindahan serta kebenaran. Justeru, persoalan inilah yang akan cuba dirungkai oleh penulisan esei kecil ini. Esei ini akan cuba menunjukkan definisi dan kedudukan karya-karya sastera yang benar-benar menurut landasan Tauhid kerana hanya karya yang sebegini sahaja yang layak dikategorikan sebagai sebuah karya sastera yang bermanfaat.


2.0 Makna Seni / Sastera Menurut Pandangan Islam.

1)Makna Seni
Dari segi makna literal, seni ialah halus, indah atau permai. Dari segi istilah, seni ialah segala yang halus dan indah lagi menyenangkan hati serta perasaan manusia. Dalam pengertian yang lebih padu, ia membawa nilai halus, indah, baik dan suci, berguna dan bermanfaat serta mempunyai fungsi dan nilai sosial. (Abdul Ghani Samsudin, Ishak Hj. Sulaiman, Engku Ibrahim Ismail:2001) Selain itu, keindahan adalah sesuatu yang wujud di luar diri manusia. Lantas nilai-nilai keindahan itu mestilah berupaya memberi manfaat dan berperanan terhadap manusia yang menghayati dan menikmati keindahan itu.

Allah s.w.t adalah sumber daya dan sumber pemikiran manusia manakala imaginasi dan keupayaan mencipta yang ada pada manusia adalah percikan dari daya kreatif Allah s.w.t. Hal ini kerana segala kawalan, pergerakan dan ilham adalah muncul hanya dengan keizinan kudrat Allah s.w.t. Oleh itu, seni boleh dibahagikan kepada 2 :

a) Seni ciptaan Allah s.w.t
b) Seni ciptaan manusia

Dengan memperakukan bahawa seni juga termasuk apa yang dicipta oleh Allah s.w.t , ia tidak bermakna kita mencampuradukkan seni ciptaan manusia dengan seni ciptaan Allah s.w.t.(Ibid).

2)Makna Sastera
Sastera ertinya bahasa, seni sastera ialah seni bahasa. Susastera bermaksud ‘Bahasa Yang Indah’. Kesusasteraan pula bermaksud sejumlah tulisan yang menggunakan bahasa yang indah bagi melahirkan perasaan yang indah. Sastera adalah salah satu cabang seni manakala seni itu adalah suatu yang indah yang dapat dihubungkaitkan dengan keindahan mutlak Allah s.w.t itu sendiri. Kesusasteraan ialah satu bentuk tulisan yang dicipta oleh manusia dengan bantuan bahasa dengan tujuan menikmati penerokaannya ke dalam pengalaman-pengalaman semasa hidup. Bentuk utama sastera ialah sifat pengisahan yang terdapat di dalam pernyataannya.

3.0 Dasar-Dasar Persuratan Islam
Menurut Persuratan Islam (Persuratan Baru), sesebuah karya yang ingin dicipta itu mestilah menggunakan Tauhid sebagai pusat rujukan dan pencarian sumber ilham bagi memulakan proses berkarya. Hal ini kerana Tauhid mestilah dilihat dan diakui sebagai asas yang penting dalam mengolah karya agar kelahiran sesebuah karya itu tidak hanya dapat memuaskan nafsu dan akal yang cetek semata-mata.

Jadi, bagi menjadikan karya yang bakal lahir itu adalah benar, elok, baik dan bermanfaat, pengarang atau sasterawan mestilah mengenali terlebih dahulu maksud ilmu yang sebenar. Pada tahap filosofikal, Persuratan Baru tertegak pada tiga falsafah utama yang saling bergabung dan bertautan (coalesce), iaitu “Hakikat Insan”, “Hakikat Ilmu dan Amal”, serta “Hakikat dan Fungsi Sastera”(Mohd Affendi Hassan:1992)

Oleh itu, melalui falsafah “Hakikat Insan”, para sasterawan dan pengarang perlu menyedari dan memahami kewujudan insan di atas muka bumi adalah berpunca daripada kekuasaan and kehendak Allah s.w.t. Lantas, jika konsep yang benar ini telah difahami oleh pengarang bahawa kewujudan manusia (pengarang) di dunia adalah berserta dengan peranan sebagai khalifah dan hamba Allah s.w.t maka, proses penulisan karya-karya juga pasti tidak akan terpisah dengan “Hakikat Insan” tadi.

Seterusnya ialah “Hakikat Ilmu dan Amal” yang dijelaskan oleh Persuratan Islam memberi gambaran bahawa karya yang dicipta adalah berupa amal dan melalui amal itulah ilmu yang benar perlu disebarkan, sebagaimana Al-Quran berperanan sebagai pembawa ilmu serta panduan beramal kepada manusia.
Selain itu, “Hakikat dan Fungsi Sastera” perlulah difahami oleh para pengarang atau sasterawan agar karya sastera yang dihasilkan benar-benar berfungsi sebagaimana fungsi sebenar manusia dicipta yakni untuk menyeru kepada makruf dan mencegah kepada perkara mungkar.

Melalui konsep inilah sesebuah karya itu akan berhasil dinilai sebagai sebenar-benar karya yang berilmu dan penuh manfaat jika ditelaah dan dihayati.
Menurut Mohd Affendi Hassan sebarang ilmu yang benar itu mestilah datangnya dari Al-Quran sebagai Kanon dan Allah s.w.t juga sebagai asas pegangan dalam berkarya supaya karya yang dicipta tidak sia-sia sifatnya. Namun begitu, sudah pasti penjelasan tentang ilmu menurut Affendi ini sukar diterima oleh sesetengah individu kerana telah melihat kebebasan dalam berkarya itu telah disempitkan serta diletak batasan yang menyukarkan proses pengkaryaan.

Masalah ini berpunca kerana falsafah dan pengertian “sastera” ini kemudiannya terputus, akibat penjajahan Barat di Alam Melayu yang berhasil dalam mengubah (lebih tepat “menyempitkan”) falsafah dan pengertian “sastera” Melayu pada masa kini, dengan menjadikannya sebagai satu kegiatan penulisan karya-karya fiksyen yang berasaskan imaginasi semata-mata (Mohd. Zariat Abdul Rani:2008). Masalah ini wujud adalah disebabkan oleh pengaruh para pemikir Barat yang mengisytiharkan pelbagai teori yang tidak berasas dan seringkali menemui kebuntuan dengan rumusan yang kacau bilau sifatnya.

Sudah pasti suasana berbeza akan wujud sekiranya Tauhid atau Islam dijadikan asas dalam melahirkan sesebuah karya. Hal ini jelas kerana matlamat Islam itu sendiri membawa kepada keamanan, ketenangan dan kemakmuran. Tambahan lagi, setiap pengarang yang mencipta sebarang karya perlu memahami dan menyedari hakikat diri (hakikati insan) yakni sebagai seorang hamba ciptaan Allah s.w.t yang memegang peranan sebagai Khalifah dan Abdillah.

Hanya dengan kaedah dan pemahaman sebegini akan menjadikan proses penciptaan karya itu sebagai ibadah di sisi Allah s.w.t
Jikalau kedua-dua peranan besar ini tidak diketepikan semasa menjalankan gerak kerja menulis sesebuah karya maka kemungkinan untuk lahirnya sebuah karya yang tidak bermanfaat dan jauh dari ikatan Tauhid serta Kanon amat besar. Sesungguhnya, prinsip Taklif inilah yang menurut Persuratan Baru mengikat kegiatan sastera dengan tuntutan “janji azali”, dan dengan itu menjadikan kegiatan sastera di sisi Islam sebagai salah satu bentuk pengabdian (ibadah) manusia kepada Pencipta mereka.( Wan Mohd. Nor Wan Daud:1997)

Hal ini jelas kerana Islam telah meletakkan piawaian dan kayu ukur yang sistematik dan efektif terhadap karya sastera bahawa sesebuah karya itu perlulah memiliki keindahan berserta kebenaran bagi melayakkan karya itu dilabelkan sebagai ilmu yang benar. Sekiranya sesebuah karya itu hanya menekankan aspek keindahan semata-mata yang begiti bebas dan terkeluar daripada lingkaran Tauhid dan tidak menyatakan ilmu yang benar maka karya tersebut amatlah tidak berguna.

Perkara ini begitu wajar kerana jika penulis atau pengarang hanya menekankan keindahan semata-mata tanpa menghiraukan kebenaran ilmu itu maka sudah pasti sifat sesebuah karya itu akan kosong daripada makna, tujuan dan peranannya untuk masyarakat atau manusia.
Seterusnya, dengan menjadikan tuntutan Tauhid dan Kanon (Al-Quran) sebagai pusat rujukan dan panduan dalam berkarya maka karya yang dicipta sudah pasti akan padat dengan kebenaran dan tidak hanya sebagai sebuah cerita angan-angan yang tidak memberikan sebarang manfaat kepada minda, emosi serta rohani pembaca.

Keadaan ini begitu selari dengan kehendak dan objektif Persuratan Islam (Persuratan Baru) yang menuntut sesebuah karya yang tidak hanya muncul sebagai hasil daripada perahan khayalan yang tidak mempunyai kebenaran hakiki. Demikian gagasan dan pemikiran yang dianjurkan oleh Persuratan Islam dalam menentukan kedudukan sesebuah karya yang ingin menyampaikan cerita.

Saya tidak berminat untuk hanya bercerita, kerana dalam kajian saya, Al-Quran tidak pernah bercerita sekadar bercerita. Cerita digunakan untuk menyatakan sesuatu gagasan atau pemikiran, untuk memberi peringatan atau amaran (Mohd Affendi Hassan:1994)

Melalui petikan tersebut begitu jelas bahawa penekanan kepada konsep ilmu yang benar begitu jelas digagaskan oleh Persuratan Islam (Persuratan Baru). Menurut Persuratan Baru, “ilmu yang benar” merujuk kepada “ilmu” yang dapat menjadikan manusia tahu dan kenal akan Pencipta mereka, dan dengan pengetahuan dan perkenalan tersebut mendorong manusia untuk melaksanakan kebaikan dan meninggalkan kejahatan di sisi Islam (amar maaruf nahi mungkar). ( Wan Mohd. Nor Wan Daud,:1997).

4.0 Penutup
Maka, jika sesebuah karya yang dicipta oleh pengarang berpandukan atau merujuk kepada konsep utama Persuratan Islam (Persuratan Baru) iaitu “Hakikat Insan”, “Hakikat Ilmu dan Amal”, serta “Hakikat dan Fungsi Sastera sudah pasti karya yang dilahirkan akan sarat dengan kebenaran dan akan memberi manfaat kepada masyarakat. Kesannya mungkin masyarakat tidak lagi disogok dan dipermainkan oleh karya-karya yang ‘kosong’ daripada ilmu yang benar dan sekadar memuaskan nafsu semata-mata.

Adalah membimbangkan sekiranya minda dan cara berfikir masyarakat hanya berlingkar dan terbatas terhadap karya-karya yang ‘kosong’ tanpa hakikat ilmu yang benar.
Secara tidak langsung karya yang sarat dengan ‘ilmu yang benar’ akan menjadikan peranan pengarang sebagai khalifah dan hamba Allah s.w.t akan terlaksana. Selain itu, para pembaca tidak lagi dimabukkan serta dihanyutkan oleh cerita-cerita yang hanya sekadar cerita imaginasi yang tidak berisi.

Perkara ini begitu penting untuk dijayakan dengan menjadikan metodologi Persuratan Islam (Persuratan Baru) sebagai medium dalam mencipta karya sastera yang benar-benar berfungsi dan memiliki utilti. Akhirnya, barulah kebenaran dan kebaikan daripada ilmu itu akan dapat dikecapi melalui karya-karya sastera yang menjadikan dasar-dasar Persuratan Islam sebagai asas dalam mencipta karya.

A/A/S:Menulis dan benda yang ditulis pasti akan disoal-siasat nanti oleh Tuhan Azzawajala.Janganlah kiranya masa menulis, agama @ akidah diletak tepi. Setiap masa pun kena betulkan akidah jadi menulis perlu kepada mengikut dan menurut lunas dan tertib akidah. Selesai masalah.

No comments: